by:hilal asyraf
wanna sahare this with readers..it makes me open the eyes..see the truth..try to be strong..even sometimes, there's voices whispering that could "distort" my intention to change myself for a better person.. let's read.. may this could give us strength to become a better person than yesterday:)
Saya ada terbaca blog junior/sahabat saya, Faiq Zaini berkenaan hal ini. Kemudian ditambah pula, selepas itu salah seorang pembaca Langit Ilahi bertanya kepada saya berkenaan ketakutannya bergerak ke arah kebaikan kerana rakan-rakan mencercanya sebagai hipokrit.
Ya, ada orang takut berubah kepada kebaikan kerana risau. Kadangkala bukan merisaukan kutukan orang. Diri sendiri itu pun mempersoalkan – tak hipokrit ke aku ni kalau berubah?
Ayat-ayat racun macam – aku kena jadi diri sendiri – akan mula merosakkan jiwa.
Hipokrit ke kalau jadi baik? Jadi baik ni, sama dengan tak jadi diri sendiri kah?
Siapa la pandai-pandai buat peraturan hodoh macam tu?
Kalau bab tak jadi diri sendiri, maka buat benda-benda tak elok itulah hipokrit
Kenapa tak nak berubah? Dia kata, tak nak jadi hipokrit. Dirinya suka benda-benda yang Allah larang, suka merokok, suka ponteng kelas, suka mencarut, suka couple dan sebagainya. Jadi, kalau berubah ni hipokrit. Not myself katanya.
Oh? Mana kamu tahu jahat/nakal/kurang aja/tak bagus tu adalah diri kamu yang sebenar?
Siapa ajar?
Tahu apa diri kita yang sebenar?
Saya bagi satu hadith, dan satu ayat Al-Quran.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap bayi itu lahirnya di atas fitrah, ibu bapanya(suasana pembesarannya) lah yang menjadikannya yahudi, nasrani dan majusi”
Kenapa Rasulullah SAW tak cakap: “Ibu bapanya(suasana pembesarannya)lah yang menjadikannya islam, yahudi, nasrani, dan majusi” ? Kenapa?
Sebab bayiu itu dilahirkan atas fitrah. Fitrah=Islam. Islam=baik.
Jadi, siapa kata menjadi baik itu hipokrit? Jadi jahat la hipokrit. Sebab jahat/nakal dan segala yang berkaitan dengannya itulah yang bukan diri kita sendiri.
Allah SWT pula berfirman:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Dia berfirman): Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar, kami menjadi saksi(mengakuinya)” Surah Al-A’raff ayat 172.
Ah, sebelum kita lahir lagi, fitrah kita adalah beriman. Fitrah kita adalah Islam. Fitrah kita adalah taat kepada Allah SWT. Sebab itu, pernah dengar kan kata-kata: “Bayi itu suci dari dosa?”
Jadi, nak kembali kepada kebaikan, nak bergerak menjadi hamba yang taat, di mana hipokritnya?
Masalah manusia senget akal
Masalah segelintir manusia adalah, apabila ada rakan mereka nak berubah, mereka akan hina-hina, kutuk-kutuk. Kata-kata berikut adalah yang biasanya keluar:
“Tak payah jadi baiklah. Kau ni memang dah tak ada harapan dah nak ikut geng-geng baik ni”
“Kau jangan nak tunjuk bagus la bro. Dunia belum terbalik lagi la”
“Hipokrit la kau ni. Jahat tu jahat la. Jadi baik buat apa?”
Ini penyakit paling kronik yang ada dalam masyarakat kita. Tengok sahabat dia jadi baik, dia tak senang, dia rasa sempit, dia rasa gusar. Dia mewarisi sikap satu makhluk ni. Makhluk apa?
Iblis. Iblis, syaitan dan konco-konconya memang akan rasa sempit hati bila nampak orang bergerak ke arah kebaikan. Dia rasa bengang, rasa marah dan rasa sangat-sangat la bengkek bila tengok orang buat baik. Sebab, tujuannya atas muka bumi ni terganggu. Semasa dia dilempar keluar dari syurga, dia telah bersumpah kepada Allah SWT:
Allah SWT berfirman:
“Iblis pun berkata: Oleh kerana Kau telah menyebabkan aku tersesat, maka sesungguhnya aku akan mengambil tempat menjadi penghalang mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan serta dari belakang mereka, dan dari kanan serta kiri mereka, dan Engkau akan mendapati tidak ramai dari mereka yang bersyukur” Surah Al - ‘Araff aayat 16-17.
Tapi benda ni, kalau cakap pada pengutuk-pengeji ni, mereka tidak akan faham.
Maka, jadikan ini inspirasi, kekuatan kepada yang nak merubah diri, agar terus sabar dan tabah. Hendak kembali kepada fitrah, hipokrit apanya?
Bukan boleh terus jadi malaikat
Kepada yang nak berubah, jangan rasa susah hati kalau ada masanya anda jatuh semula. Terbuat salah lama. Memang itu resminya kehidupan manusia. Imannya turun naik. Tak ada manusia yang tersedar-sedar terus jadi baik macam malaikat.
Tak ada. Melainkan kamu boleh jumpa situasi itu di dalam drama dan novel sahaja.
Manusia biasa, paling kurang akan tetap ada sisa-sisa jahiliyyahnya. Lambat untuk membuang semuanya.
Tetapi ini bukan alasan berputus asa.
Sebab itu saya suka tunjukkan kamu kisah pembunuh kepada 100 orang. Dia telah membunuh 100 orang, tetapi dia masih berusaha bertaubat kepada Allah. Akhirnya Allah memasukkannya ke dallam syurga, tanpa dia sempat bertaubat. Dia hanya baru hendak bergerak ke tempat taubat sahaja. Itulah dia maknanya, keampunan Allah meluasi kemarahan-Nya.
Ketahuilah, kepada orang yang hendak berubah, Allah amat mencintai kalian.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.
Apa la kisahnya dengan kritikan orang ramai, jika hendak dibandingkan dengan kasih sayang Allah?
Penutup: Usah peduli orang lain. Bergerak terus ke arah perubahan
Bila nak berubah, jangan teragak-agak. Niat berubah kena jelas, menuju kepada Allah semata-mata. Tidak berubah kerana perempuan, tidak berubah kerana kawan, tidak berubah kerana yang lain-lain. Berubah hanya kerana Allah SWT.
Dengan ini, kalau satu dunia menyisihkan anda kerana perubahan anda, anda tetap tenang dan sabar, teguh dan tabah.
Bergeraklah terus ke arah perubahan.
InsyaAllah, Allah SWT tidak akan mengecewakan hamba-hamba-Nya yang mendekati-Nya.
Saya tutup artikel ini dengan surah penenang jiwa. Dalami maknanya ya.
“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu yang memberati tanggunganmu? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” Surah Asy-Syarh ayat 1-8
2 Comments to "hipokrit.."