ISLAM ITU CINTAKU...

adapted from http://wwwsweetlavender.blogspot.com
huhu...menitiskan air mataku...

ISLAM ITU CINTAKU

Iman Akmal..

Awak ingat tak tanggal 11 ogos 2007. Awak tahu, itulah tarikh keramat yang tak mungkin saya lupakan kerana ia merupakan tarikh yang terpenting sekali dalam hidup saya. Yelah, itukan tarikh penyatuan kita berdua.

Awak..

Awak ingat tak macam mana kita berjumpa. Perjumpaan yang pada fikiran orang lain merupakan pertemuan paling kasar. Tapi pada saya, itulah saat-saat paling bermakna dalam hidup saya. Saya ingat lagi, saya ternampak seorang lelaki yang serabai sedang melintas jalan tanpa melihat ke kiri dan kanan sewaktu saya pulang dari masjid. Saya ingat awak akan mengelak apabila hon dibunyikan oleh kereta tu, tapi awak buat tak tahu je. Saya pula dengan penuh berani menarik tangan awak agar awak tak dilanggar kereta. Lepas kita sama-sama selamat, saya tampar awak. Awak tahu kenapa?? Sebenarnya terdapat pelbagai sebab kenapa saya tampar awak masa tu. First, sebab awak nak bunuh diri awak. Takkan awak tak tahu yang membunuh diri sendiri adalah dosa yang paling dimurkai Allah. Takkan awak tak takut Tuhan, takkan awak tak takut neraka. Second, gara-gara saya nak selamatkan awak saya tersentuh tangan yang bukan muhrim saya iaitu tangan awak. Awak tahu tak sepanjang hidup saya saya tak pernah pegang tangan orang lelaki lain kecuali tangan ayah saya?? Hati saya membara sangat waktu tu. Tapi saya tengok awak tetap begitu, wajah awak macam awak tak kisah dengan apa lagi yang berlaku disekeliling awak. Mungkin awak tak sedar pun awak sedang berbicara dengan saya sekarang ni. Hati saya bungkam, lalu saya tinggalkan awak sendirian kat situ.

Keesokan harinya, saya terjumpa awak kat situ lagi. Saya ingat awak nak bunuh diri lagi. Saya cepat-cepat pergi ke arah awak. Awak tahu tak betapa terkejutnya saya melihat penampilan awak yang jauh berbeda berbanding semalam. Awak kelihatan kemas dan tak serabai macam semalam. Awak cakap awak ada perkara penting nak beritahu saya. Saya ajak awak pergi masjid yang menjadi tempat saya mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran. Kita duduk berdua je kat situ. Hati saya berdebar-debar waktu tu. Awak memang tampan, itu saya tak dapat nafikan. Saat mata hazel awak tenung mata saya, wajah saya membahang. Di situ awak luahkan semuanya pada saya kecuali apa yang mendorong awak untuk bunuh diri semalam. Awak cakap awak jahil sebab tak tahu apa-apa pasal Islam walaupun awak seorang muslim. Awak cakap, sejak berumur 15 tahun lagi awak dah berkenalan dengan arak. Saya tanya awak pasal solat, puasa, zakat, dan haji. Saya tak tahu kenapa hati saya tergerak untuk bertanyakan semua tu. Awak mesti ingat saya pandang rendah kat awak. Tapi, saya hampir pengsan bila awak beritahu awak tak pernah solat dan puasa sepanjang awak hidup selama 25 tahun ni. Bila saya tanya awak kenapa, awak cakap awak terlalu lama menetap di London. Bahkan ahli keluarga awak langsung tak sembahyang apatah lagi nak puasa. Awak minta tolong saya untuk ajar awak agama. Mula-mula saya agak keberatan sebab saya bukannya mahir sangat. Tapi awak berkeras nak belajar dengan saya. Akhirnya, atas dasar persaudaraan sesama Islam, saya setuju.

Mulai hari itu, awak selalu datang kelas mengaji yang saya adakan. Mula-mula saya rasa nak gelak sebab awaklah anak murid saya yang paling tua. Lepas tu awak baru baca Iqra’ dengan saya. Tapi awak sabar dan tak sampai 4 bulan awak dah boleh baca Al-Quran. Saya ajar awak macam-macam. Pasal solat, haji, zakat dan puasa. Hati awak memang cerah, sekejap sahaja saya ajar hal solat, then awak dah boleh solat sendiri. Kita pun selalu solat bersama-sama. Petang tu, saya membacakan azab-azab yang diterima oleh penghuni neraka. Air mata awak bergenang. Awak, awak terasa hati dengan saya ke?? Sejak hari tu, awak dah tak datang-datang ke masjid tu. Awak tahu, seminggu awak tak datang, seminggu tu jugalah saya jadi penunggu setia kat masjid tu. Kemudian, pada satu petang awak datang pada saya. Saat saya melihat awak, ada satu perasaan hadir dalam diri saya. Tapi saya tak tahu apa perasaan itu. Awak datang petang tu bukan sebab nak belajar agama dengan saya tapi sebab awak nak ajak saya kahwin. Apa, kahwin?? Saya terus pitam.

“Humaira, sudi tak jadi permaisuri di hati Iman..Sudi tak kahwin dengan Iman??”

“Ha, kahwin… Mana boleh..ehhh saya tak nak Iman. Jangan buat gila.”

“Please, Humaira I beg you. Kalau awak jadi isteri saya, lagi banyak masa awak boleh ajar saya pasal Islam. Tolonglah Humaira, masa saya semakin suntuk”

Resah melihatkan awak yang begitu mengharap, saya akhirnya bersetuju. Tapi saya betul-betul tak faham dengan ayat ‘masa saya semakin suntuk’ yang awak katakan tadi.

Perkahwinan kita berlangsung lepas tu walaupun ditentang secara hebat oleh keluarga awak. Ayah saya pula bersetuju walaupun agak terkejut dengan keputusan mendadak saya tu. Yelah, saya baru 18 tahun dah bekahwin dengan orang yang tujuh tahun lagi tua dari saya. Saya ingat lagi, sehari lepas kita kahwin, awak bawa saya jumpa famili awak. Teruk saya dihina dan dicerca. Luluh hati saya, awak. Mummy dan daddy awak cakap saya macam-macam. Saya ditampar mummy awak gara-gara saya cakap awak yang nak kahwin dengan saya. Saya cakap awak yang beria-ia ajak saya kahwin. Saya cakap macam tu sebab mummy awak tuduh saya ni perempuan pisau cukur yang nak kikis semua harta awak. Saya rasa hina sangat masa tu. Tapi yang peliknya, awak langsung tak buka mulut untuk pertahankan saya. Awak hanya diam dan memerhatikan saya diserang keluarga awak. Sampai hati awak!!

Kita pindah ke kondominium milik awak di Kuala Lumpur. Seminggu saya menangis rindukan ayah saya yang tinggal seorang diri di Terengganu. Sejak ibu saya meninggal sewaktu melahirkan saya, tak pernah sekali saya berpisah dengan ayah saya. Tapi awak pandai.. setiap hari awak akan bagi teddy bear yang berlainan pada saya. Saya memang suka bear.. Bila saya peluk bear-bear tu barulah terubat sikit rindu kat ayah, sebab badan ayah pun macam bear-bear ni semua. Jadi peluk bear ni macam peluk ayah saya la. Dua minggu usia perkahwinan kita, dah 14 teddy bear saya terima. Saya happy sangat, awak!

Tapi sepanjang kita kahwin, tak pernah sekali pun awak sentuh saya. Saya sering tertanya-tanya kenapa awak kahwini saya kalau awak tak nak memiliki saya sepenuhnya. Saya umpama cikgu pada awak. Saya panggil awak abang Iman, awak panggil saya Ustazah Humaira. Pelikkan. Kitalah pasangan paling pelik sekali pada saya. Malam, kita hiasi dengan aktiviti tadarus, setiap jam 3 pagi awak akan kejutkan saya untuk solat tahajjud. Saya begitu bahagia dengan perubahan diri awak. Kita sama-sama penuhi tanggungjawab masing-masing. Setiap hujung minggu, kita akan keluar bersiar-siar. Hari tu, sewaktu kita ke Sunway Pyramid, ada seorang perempuan panggil awak. Bila awak berpaling, perempuan tu terus peluk dan cium pipi awak. Saya nampak awak macam kaget. Tapi awak masih tak kenalkan dia pada saya. Lepas tu, perempuan tu ikut kita ke mana sahaja kita pergi. Saya tahulah saya ni perempuan kampong yang tak pandai bergaya. Dengan jubah dan tudung labuh paras pinggang yang sering membaluti tubuh saya ni, mana ada lelaki yang tertarik dengan saya. Perempuan tu pulak dengan selambanya paut tangan awak sedangkan saya, isteri awak yang sah tak pernah sentuh awak. Tanpa saya sedari, airmata saya menitis. Saya sedih awak. Takkan awak tak fikir perasaan saya. Saya lari keluar dari butik tu sewaktu awak dan perempuan tu leka berbual. Saya berlari dengan linangan air mata awak tahu tak?? Saya dengar awak jeritkan nama saya. Saya pusing belakang, nampak awak dan perempuan tu. Perempuan tu lagi!! Dia tak faham ke yang saya bencikan dia sebab rapat dengan awak. Tadi, saya seolah-olah tak wujud tahu tak!! Awak jeritkan nama saya lagi, akhirnya saya berhenti berlari. Awak pegang tangan saya. Awak tanya saya kenapa.

“Humaira kenapa ni?”

“Tak ada apa-apa la..Pergi la shopping dengan perempuan ni”

“Humaira jealous ya.. Maafkan abang Iman sebab lupa nak kenalkan Iman Sofia pada Humaira. She’s my twin”

My twin. Saya malu sangat masa tu. Iman Sofia peluk saya dan mengalu-alukan kedatangan saya sebagai adik iparnya. Dia suruh saya sabar dengan karenah mummy dan daddy awak. Lepas twin awak balik, saya tengok awak tersenyum-senyum.. Saya malu sangat awak. Mesti muka saya merah atau mungkin dah biru masa tu.. Awak cubit pipi saya dan usik saya sampai saya nangis. Sorry, tapi saya ni memang cengeng. Lepas tu, awak minta maaf dengan saya dan kucup dahi saya. Saya tersentak, pertama kali awak sentuh saya. Saya tersenyum manis.. Selepas itu, kita berjalan-jalan sambil berpegangan tangan.

Hari demi hari berlalu menjadikan kehidupan kita semakin bahagia. Saya rasa ada perasaan aneh yang hinggap di sarang hati saya setiap kali saya bersama awak. Tapi saya tak tahu apa perasaan itu.

Pada suatu malam, selepas kita sama-sama solat Isya’ berjemaah, awak pegang tangan saya lagi. Saya duduk berhadapan dengan awak. Awak tenung saya. Mata hazel awak seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu. Tapi, awak hanya berdiam diri. Selepas itu, saya bangun dan beredar ke bilik saya. Tiba-tiba awak ketuk pintu bilik saya. Apabila pintu kayu itu saya buka, awak terus masuk. Pintu bilik saya awak tutup. Awak tarik saya ke cermin. Saya dapat lihat diri awak yang sedang memeluk saya dari arah belakang dengan erat sekali pada cermin itu. Walaupun hati saya berdebar-debar waktu itu, tapi saya bahagia. Awak hampir kucup bibir saya. Hanya tinggal seinci awak, awak seolah-olah tersedar dari sesuatu. Awak lepaskan pelukan awak pada badan saya. Sebelum awak pergi, awak minta maaf pada saya. Selepas awak keluar, saya menangis. Saya sedih awak!! Awak seolah-olah tidak sudi menyentuh saya walau seinci pun.

Suatu hari tu, ketika kita sedang menjemur pakaian bersama-sama, hidung awak tiba-tiba berdarah. Darah awak banyak sangat..wajah awak pucat. Hati saya dipagut rasa cemas yang teramat sangat. Lepas tu, awak pitam. Saya menjerit bagai orang dirasuk hantu. Dengan bantuan jiran, saya hantar awak ke hospital. Kat sana barulah saya mengerti kata-kata awak tak lama dulu. ‘Masa saya dah semakin suntuk’. Saya dah terlalu mengerti maksud kata-kata itu. Kenapa awak tak pernah beritahu saya awak sakit leukemia.. Saya menangis dan terus menangis. Dua hari awak tak sedarkan diri. Sebab tu, awak tak pernah nak sentuh saya. Saya mengerti sebabnya.. sebab awak tak nak beri zuriat yang mungkin berpenyakit seperti awak. Mulia sungguh hati awak. Sewaktu awak sedar, saya tetap begitu.. Menangis sambil mengucup tangan awak.. Awak juga menangis. Malam tu, awak beritahu saya sebab kenapa awak nak bunuh diri hari tu..kenapa awak nak kahwin dengan saya.. Hari tu, awak nekad nak bunuh diri sebab awak tak boleh terima diri awak sakit. Awak mengahwini saya kerana awak nak seseorang yang boleh membimbing awak ke jalan yang benar. Awak tak nak mati tanpa bertaubat. Awak juga jujur dengan saya. Awak cakap saya bukan cinta sejati awak kerana cinta sejati awak hanya pada Islam dan Allah. Saya akui agak terkilan kerana saya bukan cinta sejati awak.. tapi biarlah..kerana pada saya, dicintai awak sudah cukup bermakna.

Awak ingat tak tarikh 11 oktober 2007. Saya pasti awak takkan lupakan tarikh yang paling menyeksakan tu kan? Mana taknya, itulah tarikh keramat di mana awak telah menjalani kemoterapi buat kali pertama. Saya tahu awak buat semua tu sebab saya. Saya mogok makan dengan awak sampai dua hari kan sebab awak tak nak buat rawatan itu. Saya jahatkan, awak. Tapi, saya buat semua tu sebab saya sayang kat awak. Saya cintakan awak, Iman!

Air mata menitis tatkala saya tengok awak yang sedang meraung kesakitan di bilik itu. Saya dapat dengar raungan awak walaupun saya hanya memerhatikan awak dari luar bilik kaca tu. Saya tengok katil awak bergegar. Mesti sakit sangatkan awak? Maafkan saya sebab paksa awak buat semua tu. Saya tengok awak menangis-nangis. Habis cadar dan bantal-bantal awak jatuh ke lantai gara-gara awak mengeletar atas katil tu. Saya tengok awak muntah dan batuk tanpa henti. Awak meraung-raung jeritkan Allahuakhbar. Tatkala awak meraung di dalam, saya pulak meraung di luar.

Awak berkeras tak nak buat sebarang rawatan. Keadaan awak semakin teruk. Rambut awak dah sikit..wajah awak cengkung..badan awak kurus sangat. Awak hanya mampu duduk di kerusi malas..di kerusi malas itulah awak solat. Tapi saya kagum dengan awak sebab awak masih puasa walaupun awak diberi ruksakh untuk berbuka. Awak tetap berpuasa walaupun kadang-kadang awak menggigil sebab terlampau sakit tapi awak tetap berkeras nak berpuasa. Hari-hari awak dihabiskan di kerusi malas itu sambil menghafal surah-surah Al-Quran melalui mp3 yang ditekapkan di telinga awak. Setiap kali awak dengar surah Yaasin, air mata awak akan bergenangan.

Sepuluh malam terakhir Ramadhan, awak berdegil tak mahu tidur sebab nak tunggu malam Lailatul Qadar. Saya sering menyuruh awak tidur, kerana takut kesihatan awak terganggu. Tapi awak cakap, awak tetap nak tunggu malam Lailatul Qadar kerana awak takut awak tidak sempat untuk bertemu dengan Ramadhan yang berikutnya. Selalunya, saya akan tertidur di sisi kerusi malas awak. Dan apabila saya tersedar, awak juga dah terlena. Wajah awak sentiasa senyum. Saya akui takut untuk membiarkan awak tidur kerana saya takut awak akan terus tertidur dan tak bangun-bangun lagi.

Malam terakhir puasa, awak kelihatan bersinar-sinar. Awak ajak saya buat terawih. Awak, awak solat terawih ke solat sunat taubat. Awak sujud lama sangat. Saya seperti dah mengerti sesuatu. Saya teruskan solat terawih ini sementara awak masih begitu..sujud menyembah tuhan. Dan selepas 12 rakaat selesai saya kerjakan, awak tetap begitu. Masih lagi sujud..

Bila bahagia mulai menyentuh,

Seakanku bisa hidup lebih lama,

Namun, harus kutinggalkan cinta,

Ketikaku bersujud..

Awak dah pergi. Saya tahu awak letih sangat dan awak nak tidur. Saya baringkan awak di atas sejadah itu. Darah yang mengalir dari hidung awak saya bersihkan. Wajah awak tenang macam bayi yang sedang nyenyak tidur. Selepas itu, tanpa membuka kain sembahyang, saya terus berbaring di sebelah awak di atas sejadah itu. Saya tertidur sampai azan hari raya Aidilfitri berkumandang. Hajat awak nak beraya tak kesampaian. Tapi hajat awak untuk berpuasa penuh dan solat terawih serta tahajjud sepanjang Ramadhan tetap terlaksana.

Awak..

Setahun dah berlalu pergi. Hari ini saya akan bertolak ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar dalam bidang Qiraat Al-Quran.

Seminggu lepas awak pergi, mummy awak datang dan berjumpa saya. Mummy awak menyusuri saya ke Terengganu semata-mata nak berbaik dengan saya semula. Mummy dan daddy awak minta maaf dengan saya. Mummy awak cakap awak ada mengutus surat kepada mereka dan menjelaskan segala-galanya tentang perkahwinan kita seminggu sebelum awak pergi tinggalkan saya. Mummy awak peluk saya dan meminta maaf dengan saya. Selepas itu, kami berdamai. Mesti awak bahagia, kan? Pembelanjaan saya ke Al-Azhar pun ditanggung oleh famili awak.

Awak tahu, dahulu setiap hari saya akan ke kubur awak dan menangis di situ. Saya meraung-raung teringatkan awak. Saya rindukan awak. Senyuman dan panahan mata awak. Saya rindukan cinta awak, Iman. Pada suatu hari, sewaktu saya sedang menangis di pusara awak, ayah saya datang dan tampar saya. Saya kaget dan tangisan saya terus berhenti. Ayah menyedarkan saya semula. Ayah cakap saya menyeksa awak di sana. Saya meratapi pemergian awak dan lupa menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang muslim. Ayah cakap roh awak tak akan tenang kerana saya tak mahu lepaskan awak. Saya seolah-olah tersedar semula dari mimpi yang panjang. Awak, maafkan saya sebab perlakuan saya mungkin menyeksa awak di sana.

Kini saya sudah tidak menangisi pemergian awak. Saya sudah bangkit menjadi Humaira yang dahulu. Humaira yang tabah dan kuat kerana saya tahu walau saya menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun, keadaan tetap tidak berubah. Awak tetap dah ‘pergi’ dari hidup saya. Saya tetap keseorangan. Saya hanya akan menyeksa awak nanti.

Saya mengambil masa tidak sampai seminit untuk membenci awak, saya mengambil masa kurang sebulan untuk mencintai awak.. Tapi harus saya akui, saya memerlukan masa sepanjang hidup saya untuk melupakan awak. Awak dah bertakhta di hati saya..teratas sekali. Kata orang cinta yang dilepaskan akan kembali jika ia cinta sejati kita. Tapi harus saya akui awak memang bukan cinta sejati saya. Cinta sejati dan hakiki saya hanya pada-Nya. Awak, saya dah nak pergi ni. Awak doakan kehidupan saya diperantauan nanti, ya. Doakan saya akan bertemu cinta sekali lagi kerana saya yakin saya layak untuk cinta. Assalamualaimum, Iman. Tunggu saya dekat ‘sana’ nanti. Sesungguhnya, awak tiada gantinya dalam hati saya.

If only you could see the tears in the world you left behind,

If only you could heal my heart just one more time,

Even when I close my eyes,

There’s an image of your face,

And once again I come to realize,

You’re a loss I can’t replace.

Tuesday, February 10, 2009 at 4:25 PM

3 Comments to "ISLAM ITU CINTAKU..."

salam..

very good story....

http://solehin-bakri.blogspot.com

Posted by Anonymous ( March 15, 2009 at 2:23 AM )

salaam...

tq..crita ni byk bg kesedaran =)
crita2 lain byk beri panduan..
thanks again..wpun log on via mistake,but ur page teaches me a lot about life in just a short duration...
thanks..

wassalam...

insyaallah sama2 kita tarbiyah diri kita..